
KUALA LUMPUR, 8 Februari -Malaysia memberi penekanan terhadap usaha menarik pelaburan jangka panjang dan berorientasikan nilai dalam sektor mineral kritikal bagi memperkukuh penciptaan nilai serta pembangunan huluan, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.
- Menekankan pelaburan jangka panjang berorientasikan nilai dalam sektor mineral kritikal untuk memperkukuh penciptaan nilai dan pembangunan huluan.
- Menggalakkan penglibatan lebih kukuh syarikat domestik serta sokongan aktiviti pemprosesan di dalam negara.
- Meminta kerjasama kerajaan, institusi kewangan pembangunan dan sektor swasta untuk bawa modal, teknologi dan kepakaran.
- Komitmen mempromosikan persekitaran mesra pelaburan dan menyokong rantaian bekalan mineral kritikal yang stabil serta boleh dipercayai.
Beliau berkata, ini termasuk pelaburan yang menyokong aktiviti pemprosesan serta penglibatan lebih kukuh oleh syarikat-syarikat domestik.
“Malaysia melihat mineral kritikal sebagai pemboleh yang semakin penting bagi aktiviti perindustrian dan kemajuan teknologi dalam ekonomi global. Kami mengakui keperluan terhadap pengaturan bekalan yang boleh dipercayai dan diyakini.
Justeru, Malaysia berhasrat untuk bekerjasama dengan rakan kongsi bagi bergerak melangkaui peranan sebagai pengekstrak semata-mata, sebaliknya ke arah tahap penciptaan nilai lebih tinggi yang berdaya maju secara komersial dan mampan untuk jangka panjang,” kata beliau dalam intervensinya pada Mesyuarat Peringkat Menteri mengenai Mineral Kritikal di Washington D.C. pada 4 Feb lepas .
Sehubungan itu, Mohamad berkata Malaysia mengalu-alukan kerjasama dengan kerajaan, institusi kewangan pembangunan dan sektor swasta untuk menggerakkan modal, teknologi serta kepakaran melalui pengaturan komersial yang berdaya maju.
Beliau berkata kerjasama sedemikian akan membantu menterjemah potensi kepada bekalan yang boleh diyakini selain menyokong pembangunan perindustrian yang lebih luas.
Beliau menegaskan bahawa pendekatan pragmatik kekal penting dan Malaysia akan terus mempromosikan persekitaran yang kondusif serta mesra pelaburan, selain komited untuk terlibat secara konstruktif dengan semua rakan kongsi dalam menyokong rantaian bekalan global yang berdaya tahan.
“Sebagai sebahagian daripada rantaian bekalan mineral kritikal global, Malaysia mengiktiraf kepentingan bersama semua negara dalam memastikan rantaian bekalan yang stabil dan boleh dipercayai,” katanya sambil menambah bahawa jaminan bekalan mineral yang mampan adalah tanggungjawab bersama.- BERNAMA