
KUALA LUMPUR, 2 Julai – Malaysia merekodkan pelaburan bagi sektor perkilangan tertinggi dalam sejarah apabila 3,847 projek bernilai RM427.9 bilion diluluskan sepanjang tempoh antara September 2023 hingga Mac 2026.
- Pelaburan dijangka mewujudkan 302,058 peluang pekerjaan baharu kepada rakyat.
- Pencapaian hasil kerjasama kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri dalam menarik pelaburan berkualiti.
- Pelaburan merangkumi sektor strategik NIMP 2030 termasuk E&E, jentera, peralatan pengangkutan, bahan kimia dan produk logam.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin berkata, pelaburan itu dijangka mewujudkan 302,058 peluang pekerjaan baharu kepada rakyat.
Menurut beliau, pencapaian berkenaan hasil kerjasama pelbagai pihak termasuk kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri dalam menarik pelaburan berkualiti ke negara ini.
Beliau turut menghargai usaha Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memperkukuh keyakinan pelabur asing sehingga Malaysia berjaya mencatat aliran pelaburan yang tinggi.
“Dari segi pelaburan, sebanyak 3,847 pelaburan dalm sektor perkilangan telah diluluskan dari September 2023 hingga Mac 2026 dnegan jumlah pelaburan bernilai RM427.9 bilion. Ini adalah rekod tertinggi dalam sejarah di negara kita dan ramai yang telah menyumbang dari kerajaan pusat hingga ke kerajaan negeri.
“Kita harus menghargai YAB Perdana Menteri kita yang berjaya mendapatkan pelaburan tinggi daripada luar negara dan dijangka menjana sebanyak 302,058 peluang pekerjaan baharu. Pelaburan ini meliputi sektor elektrikal dan elektronik (E&E),” katanya.
Jelas beliau, pelaburan yang diluluskan merangkumi sektor strategik di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) termasuk sektor E&E, jentera serta peralatan, peralatan pengangkutan, bahan kimia dan produk logam.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 2,688 projek atau 69.9 peratus dengan pelaburan diluluskan bernilai RM318.5 bilion telah pun berjaya direalisasikan dari 2023 hingga Disember 2025.