Harga petrol kekal, rakyat lega di tengah krisis Asia Barat

Foto kecil: Pengarah Program MBA Putra Business School (PBS), Profesor Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff

KUALA LUMPUR, 12 Mac– Pengekalan harga subsidi petrol RON 95 pada RM1.99 terjemah keprihatinan kerajaan terhadap rakyat, terutamanya menjelang musim perayaan yang semakin hampir.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan kekal subsidi petrol sebagai langkah melindungi kos sara hidup di tengah ketidaktentuan global.
  • Keputusan mengekalkan subsidi menambah beban fiskal tetapi fiskal negara masih kukuh dan mampu menanggungnya.
  • Jika krisis berlanjutan, kerajaan mungkin laksanakan subsidi bersasar; B40 dan M40 terus terima subsidi, T20 atau T15 bayar harga pasaran.

Menurut Pengarah Program MBA Putra Business School (PBS), Profesor Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff, langkah itu merupakan usaha untuk melindungi kos sara hidup di tengah-tengah ketidaktentuan global, terutamanya krisis di Asia Barat.

“Apabila kita hampir menyambut perayaan, kita tidak mahu kos sara hidup meningkat apabila subsidi dikurangkan.”

“Walaupun ini memberi beban tambahan kepada kerajaan, fiskal masih kukuh dan masih ada ruang untuk mengekalkan subsidi sedia ada,” katanya kepada pemberita RTM secara eksklusif dalam satu wawancara maya, hari ini.

Beliau turut mencadangkan langkah yang sesuai sekiranya situasi di Asia Barat semakin memburuk.

“Jika krisis berlarutan, kerajaan mungkin menyalurkan subsidi secara bersasar, di mana golongan B40 dan M40 terus menerima harga subsidi, manakala T20 atau T15 membeli pada harga pasaran.”

“Namun buat masa ini, keputusan Perdana Menteri mengekalkan harga petroleum untuk semua rakyat Malaysia mampu memastikan kos hidup rakyat tidak terjejas, terutama menjelang perayaan,” tambahnya.