Harga bahan api melonjak, AirAsia X laras tambang dan kapasiti

Foto fail/BERNAMA

SEPANG, 6 April -Syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia X Bhd menaikkan harga tambang antara 30 hingga 40 peratus susulan kenaikan mendadak harga bahan api jet berikutan konflik di Asia Barat.

RINGKASAN BERITA AI
  • AirAsia X menambah sekitar 20 peratus surcaj bahan api di peringkat kumpulan.
  • Syarikat berhati hati melaksanakan kenaikan tambang, mengagihkan kos ke laluan mampu menampungnya.
  • Strategi lindung nilai tidak praktikal sekarang kerana kenaikan harga minyak dan kekangan kewangan.
  • Permintaan kekal kukuh; tumpuan kepada pengurusan kos, mengoptimumkan kapasiti dan penggantungan sementara pesawat bagi penyelenggaraan.

Ketua Pegawai Komersial Kumpulan, Amanda Woo berkata, lonjakan harga bahan api jet itu turut menyaksikan surcaj bahan api meningkat sehingga 20 peratus.

“Secara umum, kami telah menambah sekitar 20 peratus surcaj bahan api. Pada peringkat kumpulan pula, beberapa hari selepas konflik, tambang meningkat sekitar 30 hingga 40 peratus berbanding sebelumnya,

Namun begitu, kami amat berhati-hati dalam melaksanakan kenaikan tersebut. Sebagai syarikat dengan kapasiti terbesar di pasaran ASEAN, khususnya domestik, kami mampu mengagihkan kenaikan ini secara teliti ke laluan yang berupaya menampung surcaj bahan api yang tinggi ketika ini.” katanya dalam taklimat media AirAsia X, di sini.

Mengulas mengenai strategi lindung nilai bahan api, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Bo Lingam berkata langkah itu tidak praktikal buat masa ini susulan kenaikan harga minyak serta kekangan kewangan yang menjejaskan keupayaan syarikat menampung kos.

Katanya, harga minyak kerosin penerbangan telah melonjak kira-kira 140 peratus kepada melebihi AS$200 setong bulan lalu susulan konflik Iran, yang menyaksikan serangan ke atas kemudahan minyak dan gas serta gangguan di Selat Hormuz, laluan perkapalan utama dunia.

“Bagaimanapun, permintaan terhadap penerbangan masih kekal kukuh, menunjukkan penumpang masih mampu menyerap kenaikan tambang, walaupun berdepan peningkatan kos,” katanya.

Pada masa sama, beliau menjelaskan tumpuan syarikat ketika ini adalah kepada pelarasan operasi dan pengurusan kos bagi menangani ketidaktentuan harga, termasuk mengoptimumkan penggunaan kapasiti.

Langkah tersebut merangkumi mempercepatkan jadual penyelenggaraan pesawat dengan menggantung sementara operasi beberapa pesawat untuk tujuan penyelenggaraan, berbanding mengembangkan operasi secara agresif dalam persekitaran kos tinggi.