Ekonomi Malaysia dijangka kekal kukuh, namun sederhana kepada 4.5% pada 2026

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 26 Mac –Permintaan domestik yang kukuh, perbelanjaan berterusan dalam infrastruktur serta pusat data, selain pemulihan sektor pelancongan kekal sebagai pemangkin utama bagi pertumbuhan ekonomi Malaysia untuk 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • HSBC unjurkan KDNK sebenar 4.5% pada 2026, menyederhana daripada 4.9% pada 2025, tetap stabil berbanding rakan Asia.
  • Tekanan jangka pendek dari harga tenaga tinggi dan konflik Asia Barat; kesan boleh dikurangkan melalui subsidi bersasar dan kawalan harga.
  • Inflasi meningkat secara beransur susulan permintaan; tekanan upah tidak ketara, membantu mengekalkan inflasi pada tahap terkawal.
  • Ringgit antara mata wang berprestasi terbaik Asia tetapi sedikit mahal; HSBC neutral terhadap mata wang dan pasaran ekuiti, sasaran kira-kira 3.85.

Menurut HSBC Private Bank, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar Malaysia diunjurkan pada 4.5 peratus pada 2026, menyederhana berbanding 4.9 peratus pada 2025, namun masih stabil dalam kalangan negara Asia, tidak termasuk Jepun.

Pakar Strategi Pelaburan Asia HSBC Private Bank, Abhilash Narayan, berkata tekanan jangka pendek dijangka berpunca daripada harga tenaga yang tinggi serta konflik di Asia Barat.

”Bagaimanapun, kesannya dapat dikurangkan melalui tindak balas dasar kerajaan termasuk subsidi bersasar dan kawalan harga.

“Fleksibiliti dasar serta prospek pertumbuhan serantau jangka sederhana pula kekal konstruktif,” katanya dalam kenyataan prospek pelaburan ekonomi Malaysia 2026.

Daripada sudut inflasi, tekanan harga menunjukkan peningkatan secara beransur-ansur susulan permintaan domestik yang kukuh.

Walaupun kadar pengangguran rendah, tanda-tanda terhadap tekanan upah tidak ketara, sekali gus membantu mengekalkan inflasi pada tahap terkawal.

”Sehubungan itu, Bank Negara Malaysia dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus sepanjang 2026, melainkan berlaku kejutan harga minyak yang berpanjangan,” katanya.

Mengenai perkembangan mata wang, ringgit Malaysia muncul antara mata wang berprestasi terbaik di Asia berbanding dolar Amerika Syarikat setakat ini, didorong oleh aliran balik tukaran asing korporat, lebihan akaun semasa dan aliran pelaburan langsung asing (FDI) yang kukuh.

Namun, berikutan pengukuhan ketara baru-baru ini, penilaian ringgit dilihat sedikit tinggi berbanding faktor asas ekonomi.

Justeru, bank tersebut mengekalkan pandangan neutral dalam tempoh enam bulan akan datang, dengan ringgit dijangka menghampiri paras 3.85 menjelang akhir 2026.

”Sementara itu, pasaran ekuiti Malaysia juga diramal neutral dalam tempoh terdekat walaupun prospek ekonomi positif, berikutan penyertaan terhad sektor pertumbuhan seperti elektronik, cip dan pusat data dalam indeks utama,” tambahnya.