
KUALA LUMPUR, 22 Januari – Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus.
- BNM mengekalkan OPR pada 2.75 peratus kerana dasar monetari dianggap wajar dan menyokong ekonomi dalam keadaan harga stabil.
- MPC akan terus memantau risiko terhadap prospek pertumbuhan dan inflasi domestik sebelum membuat sebarang perubahan dasar.
- Pertumbuhan dijangka kukuh pada 2025-2026 disokong oleh permintaan dalam negeri, upah meningkat dan pemulihan aktiviti pelancongan serta E&E.
Bank pusat dalam kenyataannya memaklumkan, pada tahap OPR semasa, MPC berpendapat bahawa pendirian dasar monetari adalah wajar dan memberikan sokongan terhadap ekonomi dalam keadaan harga yang stabil.
MPC akan terus memantau perkembangan semasa dan menilai imbangan risiko berhubung dengan prospek pertumbuhan dan inflasi dalam negeri.
”Bagi ekonomi Malaysia, pertumbuhan bagi tahun 2025 dijangka berada sekitar paras atas julat unjuran. Momentum pertumbuhan ini dijangka berterusan pada tahun 2026, disokong oleh permintaan dalam negeri yang berdaya tahan.
”Guna tenaga, pertumbuhan upah serta langkah-langkah dasar berkaitan pendapatan akan kekal menyokong perbelanjaan isi rumah,” menurut kenyataan itu.
BNM berkata, prospek pertumbuhan kekal bergantung kepada ketidakpastian, khususnya berhubung perkembangan global dan pengeluaran komoditi yang lebih rendah daripada jangkaan.
Manakala, potensi untuk pertumbuhan menjadi pesat disumbangkan oleh prospek pertumbuhan global yang lebih baik, permintaan terhadap barangan elektrik dan elektronik (E&E) yang lebih kukuh dan aktiviti pelancongan yang lebih giat.
”Sementara itu, inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing berpurata sebanyak 1.4 peratus dan 2 peratus pada tahun 2025.
”Bagi tahun 2026, inflasi keseluruhan dijangka kekal sederhana berikutan keadaan kos global yang terus mereda,” jelas BNM.