
KUALA LUMPUR, 7 April– Penggunaan biodiesel sawit tulen (B100) dilihat sebagai alternatif yang kompetitif berbanding diesel konvensional, khususnya dalam mengurangkan tekanan kos bahan api serta memperkukuh bekalan tenaga negara.
- Pengerusi FELDA telah memaklumkan rancangan B100 kepada Timbalan Perdana Menteri dan Perdana Menteri, namun perincian belum dibincangkan.
- Harga di peringkat kilang dianggarkan sekitar RM4.50 seliter, bergantung kepada harga minyak sawit mentah.
- FELDA dan FGV disaran memperluas loji B100, sedang runding kerjasama strategik; projek rintis kenderaan sejak 2025 dan ujian lori 2024 berjaya.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata pelaksanaan B100 kini masih di peringkat dasar dan akan mula digunakan dalam ekosistem FELDA terlebih dahulu.
“Saya sudah menyampaikan perkara ini kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof tetapi belum membincangkannya secara terperinci. Saya juga telah memberitahu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim namun tidak menghuraikan secara terperinci,” katanya kepada pemberita pada sidang media di sini hari ini.
Beliau menambah, harga B100 di peringkat kilang dianggarkan sekitar RM4.50 seliter, bergantung pada harga minyak sawit mentah.
Dengan anggaran harga di bawah RM5.00 seliter, penggunaan B100 mampu mengurangkan kebergantungan negara terhadap diesel konvensional.
Selain itu, langkah tersebut turut membuka peluang untuk merangka strategi penstabilan harga bahan api domestik sekali gus memperkukuh keterjaminan tenaga negara.
Dalam pada itu, beliau berkata FELDA dan FGV Holdings Bhd perlu memperluas pembangunan loji pemprosesan biodiesel B100 bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran.
Pihaknya kini sedang merundingkan bentuk kerjasama strategik, sama ada melibatkan sektor swasta, sokongan kerajaan, mahupun pihak berkepentingan lain.
Sejak tahun 2025, projek rintis penggunaan B100 biodiesel telah dilaksanakan melibatkan kenderaan penumpang selama 15 bulan dengan jarak perjalanan melebihi 50,000 kilometer.
Sebelum itu, satu ujian percubaan selama empat bulan menggunakan lori tangki turut berjaya dilaksanakan pada tahun 2024 bagi menguji keberkesanan bahan api tersebut.