ASEAN+3 catat pertumbuhan 4.3% pada 2025, atasi unjuran dan kekal tahan hadapi kejutan global

Foto fail/RTM

KUALA LUMPUR, 6 April -Ekonomi ASEAN+3 berkembang sebanyak 4.3 peratus pada 2025, disokong oleh permintaan domestik yang kukuh dan eksport yang kukuh

RINGKASAN BERITA AI
  • Permintaan semikonduktor dipacu AI meningkatkan eksport serantau, menyokong pemulihan dan pertumbuhan perdagangan.
  • Permintaan domestik, perbelanjaan isi rumah dan aliran FDI mengekalkan pelaburan serta pertumbuhan dalaman di ASEAN.
  • Risiko konflik Asia Barat membimbangkan; boleh tekan rantaian bekalan tenaga, kos pengeluaran, logistik, harga makanan dan pelancongan.
  • AMRO menggesa dasar fleksibel termasuk sokongan bersasar kepada rentan dan langkah berhati-hati bank pusat untuk kawal inflasi serta kestabilan pasaran.

Ketua Kumpulan dan Ketua Ahli Ekonomi Pejabat Penyelidikan Makroekonomi ASEAN+3 (AMRO), Allen Ng, prestasi itu jauh lebih baik berbanding unjuran 3.8 peratus sebelum ini, sekali gus menunjukkan daya tahan ekonomi serantau dalam berdepan kejutan tarif global tahun lalu.

“Prestasi lebih baik ini sebahagiannya didorong kadar tarif efektif yang lebih rendah berbanding yang diumumkan sebelum ini.

“Lebih penting, permintaan semikonduktor dipacu Kecerdasan Buatan (AI) telah meningkatkan eksport serantau, manakala permintaan domestik kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan.

”Perbelanjaan isi rumah terus kukuh dan aktiviti pelaburan turut meningkat, disokong aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) yang meluas, khususnya di ASEAN,” katanya ketika membentangkan Tinjauan Ekonomi Serantau ASEAN+3 2026 secara maya.

Pertumbuhan tersebut turut disokong hubungan ekonomi intra-rantau yang semakin kukuh, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada permintaan luar.

Bagaimanapun, bagi 2026 dan 2027 pertumbuhan dijangka sederhana pada kadar 4.0 peratus, berikutan peningkatan risiko susulan konflik di Asia Barat yang memberi tekanan kepada rantaian bekalan tenaga global.

Pada masa sama, inflasi dijangka meningkat secara sederhana kepada 1.4 peratus pada 2026 dan 1.5 peratus pada 2027, didorong oleh kenaikan harga tenaga global.

Sekiranya konflik berlarutan, kesannya boleh melangkaui sektor tenaga dan menjejaskan kos pengeluaran, logistik, harga makanan, sektor pelancongan serta aliran kiriman wang.

Sehubungan itu, AMRO menegaskan keperluan dasar yang fleksibel, termasuk sokongan bersasar kepada golongan rentan serta langkah berhati-hati oleh bank pusat bagi mengekalkan kestabilan pasaran dan mengawal tekanan inflasi.

Dalam jangka panjang, laporan itu turut menekankan transformasi struktur rantau ini yang kini semakin dipacu permintaan dalaman, dengan ASEAN+3 muncul sebagai pasaran terbesar dunia, menyumbang 28 peratus permintaan akhir global.