fb fb fb fb fb

Zizi Kirana antara lapan ditahan tentera Zionis

Aktivis, Zizi Kirana /FOTO FB Sumud Nusantara Official

KUALA LUMPUR, 2 Oktober - Zizi Kirana antara lapan aktivis dari Malaysia yang ditahan secara tidak sah oleh tentera rejim Israel di perairan antarabangsa, setakat 6 pagi ini.

Selebriti itu ditahan bersama-sama peserta lain menaiki kapal Huga dalam misi Global Sumud Flotilla menuju ke Gaza, yang bertujuan memecah sekatan Zionis.

Menerusi hantaran di Facebook Sumud Nusantara, pihak berkuasa negara haram itu turut menahan kapal Sirius yang membawa empat delegasi Malaysia iaitu Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khairuddin dan Rusydi Ramli.

Manakala tiga lagi diculik melibatkan Iylia Balqis, Musa Nuwayri dan Sul Aidil menaiki kapal Alma.

Hantaran sama menyaksikan video rakaman aktivis yang dicekup merayu bantuan bagi memastikan pembebasan mereka dapat disegerakan.

Misi flotila antarabangsa itu mula memasuki zon merah peringkat ketiga awal pagi ini sebelum dipintas oleh tentera laut Zionis.

Setakat ini, sembilan kapal telah diceroboh dan 13 telah dipintas pihak pertahanan rejim Israel.

Perkembangan terkini misi dilaporkan secara langsung oleh Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) dari Sepang, Selangor.

Seramai 23 aktivis Malaysia berada dalam misi pelayaran berkenaan.

MUHAMMAD 'AZAMUDDIN HUSSAIN