KUALA LUMPUR, 2 Oktober - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengecam sekeras-kerasnya tindakan Israel menghalang konvoi Global Sumud Flotilla (GSF).
Menerusi perkongsian di Facebook, Datuk Seri Anwar menegaskan bahawa Malaysia akan menggunakan semua kaedah yang sah dan berlandaskan undang-undang bagi memastikan Israel dipertanggungjawabkan, khususnya dalam hal melibatkan warganegara Malaysia.
Keselamatan dan maruah rakyat Malaysia menjadi keutamaan, dan ia tidak boleh digadai tanpa pembelaan.
"Dengan menghalang misi kemanusiaan ini, Israel jelas menunjukkan penghinaan bukan sahaja terhadap hak rakyat Palestin, malah juga terhadap suara hati nurani dunia.
"Kapal-kapal ini membawa orang awam yang tidak bersenjata serta bekalan kemanusiaan yang penting untuk Gaza, namun telah disambut dengan ugutan dan paksaan.
"Flotila ini melambangkan solidariti, keprihatinan dan harapan untuk meringankan penderitaan mereka yang hidup di bawah kepungan.
"Selagi rakyat Palestin dinafikan hak dan cita-cita asas mereka, Malaysia akan terus berdiri teguh bersama mereka. Kita tidak akan berundur dalam menuntut pengakhiran kepada ketidakadilan dan perampasan yang telah menindas Palestin sejak sekian lama," katanya.
Terdahulu media melaporkan, Zizi Kirana antara lapan aktivis dari Malaysia yang ditahan secara tidak sah oleh tentera rejim Israel di perairan antarabangsa, setakat pukul 6.00 pagi tadi.
Selebriti itu ditahan bersama-sama peserta lain menaiki kapal Huga dalam misi GSF menuju ke Gaza, yang bertujuan memecah sekatan Zionis.