fb fb fb fb fb

Zahid santuni golongan asnaf di Pahang

BENTONG, 29 Mac- Hampir 1,500 orang yang terdiri daripada anak-anak yatim, pusat tahfiz, asnaf dan masyarakat setempat telah diraikan dalam satu majlis iftar yang diadakan di Masjid Al-Falah, Kampung Lebu, Bentong, Pahang hari ini.

Pahang menjadi lokasi kelima daripada 13 negeri bagi penganjuran Majlis Santuni Kasih Ramadan oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Majlis yang dihadiri Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah yang juga Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bertujuan merapatkan jalinan ukhwah di antara kementerian berkenaan dengan masyarakat setempat.

Dalam majlis itu, KKDW turut menyerahkan bantuan kit peralatan dan kursus ‘Quick Win’ KEMAS kepada 10 peserta dalam bidang jahitan dan masakan dengan jumlah keseluruhan bantuan sebanyak RM20,000.

Ia bagi membantu peserta menjana pendapatan sendiri selain meneruskan perniagaan masing-masing.

(Foto fail)

Dalam majlis berkenaan turut terlibat Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) yang melaksanakan tanggungjawab sosial dengan menyampaikan peruntukan sebanyak RM9,000 di bawah Bantuan Imarah Masjid kepada tiga buah masjid dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) yang memberi sumbangan tunai dan hamper raya kepada 10 orang saudara baru Islam daripada masyarakat orang asli Pahang.

Majlis Santunan Kasih KKDW berikutnya akan diadakan di Johor, Perak, Wilayah Persekutuan, Kedah, Perlis, Negeri Sembilan, Sabah, Kelantan dan berakhir di Sarawak.

Media Baharu