fb fb fb fb fb

YSB hulur sumbangan Aidilfitri kepada 440 penerima di Kedah

FOTO RTM

ALOR SETAR, 24 Mac- Seramai 440 penerima di Kedah menerima sumbangan Hari Raya Aidilfitri daripada Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB).

Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri 2025 diadakan di sebuah hotel di Alor Setar, hari ini.

Penyampaian sumbangan tersebut bertujuan untuk membantu golongan yang memerlukan, termasuk murid sekolah rendah, pelajar sekolah menengah, serta keluarga asnaf dari daerah Kota Setar, Kubang Pasu, Padang Terap, Pendang, Kuala Muda, dan Yan agar dapat menyambut Aidilfitri dengan lebih bermakna.

Majlis diserikan dengan keberangkatan Che Puan Besar Kedah, Tuanku Haminah Hamidun; Toh Puan Bendahara Kedah, Puan Sri Nora Abdullah; dan Tunku Temenggong Kedah selaku Pengerusi YSB, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Pada majlis itu, sejumlah RM70,000 telah dibelanjakan untuk sumbangan yang disalurkan kepada 440 penerima terdiri daripada 100 murid sekolah rendah, 100 pelajar sekolah menengah, dan 240 keluarga asnaf.

YSB dalam kenyataannya memaklumkan sumbangan tersebut merupakan hasil inisiatif YSB dengan kerjasama syarikat penyumbang seperti THB Maintenance Sdn. Bhd., Bina Darulaman Berhad, dan Aafiyat Holdings Berhad.

Turut memeriahkan majlis, sesi Tazkirah Ramadan bertajuk “Saham Dunia Akhirat” yang disampaikan oleh Pendakwah terkenal dari Pusat Dakwah Darul Murtadha (MADAD), Sungai Petani, Ustaz Mohammad Yaakub Yusra.

YSB berharap agar sumbangan berkenaan dapat meringankan beban para penerima serta membawa keceriaan kepada mereka dalam menyambut Syawal.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE