fb fb fb fb fb

YDP Agong harap pelaksanaan PRU15 tempoh terdekat, ambil kira ramalan bencana

KUALA LUMPUR, 10 Oktober- Usul Pembubaran Parlimen telah diperhalusi dan diperkenankan Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayattuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas menerima menghadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Istana Negara, semalam.

Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjalankan Pilihan Raya Umum (PRU15) dalam tempoh terdekat, dengan mengambil kira Monsun Timur Laut yang diramal bermula pertengan bulan depan.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan memaklumkan, ia selaras kuasa-kuasa Baginda sebagai Yang Di-Pertuan Agong, sepertimana termaktub di bawah Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan.

Baginda turut menzahirkan rasa kecewa dengan perkembangan politik semasa dan tiada pilihan selain memperkenankan permintaan Perdana Menteri bagi memulangkan kembali mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang stabil.

Bagaimanapun Seri Paduka menegaskan, negara yang kukuh adalah penting bagi menjamin kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi yang berterusan demi kesejahteraan negara dan rakyat.

Baginda mengajak rakyat bersama-sama mendoakan agar negara dan rakyat sentiasa dirahmati, diberkati dan dilindungi daripada sebarang bentuk musibah, khususnya bencana banjir.



Media Baharu