PENAMPANG, 24 September - Menghargai bahasa sebagai salah satu cabang pendidikan, Yayasan Bank Rakyat (YBR) dengan kerjasama Kadazandusun Language Foundation (KLF) telah mengadakan Karnival Bahasa Kadazandusun (BKD) dan Majlis Pelancaran Buku Kerja Bahasa Kadazandusun Tahun 4, 5 dan 6 yang merupakan kesinambungan dalam menerbitkan Modul Buku Kerja BKD bagi membantu generasi muda untuk terus membudayakan bahasa ibunda.
Karnival BKD dan Majlis Pelancaran BKD tahun 4, 5 dan 6 ini disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick di ITCC, Penampang.
"Saya amat yakin buku kerja ini akan memberi manfaat kepada guru-guru dan juga murid-murid yg terlibat dalam pembelajaran dan pengajaran BKD seluruh Sabah", katanya yang ditemui pemberita selepas merasmikan Karnival Bahasa Kadazandusun dan Majlis Pelancaran Modul Buku Kerja Bahasa Kadazandusun Tahun 4, 5 dan 6, di ITCC Penampang, di sini, hari ini.
Datuk Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang menyokong inisiatif tersebut dan berharap penganjuran Karnival BKD diteruskan pada tahun hadapan dan turut mencadangkan agar anugerah Bahasa Kadazandusun (BKD) dan pembiayaan pengajian BKD di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) diperkenalkan tahun depan.
“Kementerian saya melalui YBR sudah pasti boleh menjadi sebahagian daripada penyumbang anugerah itu.
Terdahulu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Raisin Saidin dalam ucapannya berkata, pihaknya menghargai sumbangan dan ide dalam usaha memartabatkan dan memperkasakan BKD.
Tambahnya, kerjasama dan komitmen pemimpin terdahulu telah menjadi tunjang kepada kejayaan pada hari ini.
Seramai 14 pempamer terlibat dalam Karnival BKD antaranya Institut Pendidikan Guru Kampus Kent dan Keningau, serta sekolah Rendah dan Menengah.
( Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick)