fb fb fb fb fb

Yang Di Pertuan Agong berkenan melawat ISGIA

ISTANBUL, 21 Ogos - Yang Di Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melawat Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen Istanbul (ISGIA) yang dimiliki dan diuruskan oleh Malaysia Airports Holding Bhd (MAHB).

ISGIA yang mula beroperasi pada tahun 2008, menjadi satu daripada simbol mercu tanda hubungan perniagaan antara Malaysia dan Turkiye.

Sebaik keberangkatan tiba di ISGIA, Baginda dipersembahkan taklimat mengenai operasi serta potensi pertumbuhan ISGIA oleh Pengerusi MAHB, Datuk Seri Dr Zambry
Abd Kadir serta Pengarah Urusan Datuk Iskandar Mizal,

Seri Paduka Baginda kemudiannya berkenan melawat sekitar terminal penumpang lapangan terbang tersebut yang merupakan pintu masuk keenam paling sibuk di Eropah.

Pada tahun 2021, jumlah penumpang lapangan terbang berkenaan mencecah 25 juta yang merupakan 70 peratus daripada angka pra-pandemik COVID-19.

Ia turut disenaraikan sebagai lapangan terbang kedua Eropah yang mencatat pemulihan paling pantas pada tahun 2021.

(Yang Di Pertuan Agong ketika berkenan melawat
Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen Istanbul (ISGIA))

"Kami merasakan dengan operasi yang sedia ada daripada tahun 2009 lagi, peningkatan yang begitu mendadak sekali dan juga jika dilihatkan jalinan trafik yang sedia ada daripada lebuhraya daripada metro, persepaduannya itu diantara seluruh infrastruktur pengangkutan, kami merasakan kedudukan kami disini pada tahun kehadapan akan bertambah dan meningkat lagi," kata Iskandar Mizal di sini.

Tambahnya MAHB juga merancang untuk mengembangkan lagi kapasiti dengan menambah satu landasan dan satu terminal baharu dalam masa terdekat.

ISGIA merupakan lapangan terbang kedua terbesar di Turkiye selain menjadi landasan tunggal paling sibuk di dunia dengan penerbangan ke 110 destinasi di 49 negara.

Pada 2021, ISGIA muncul sebagai lapangan terbang pertama dunia menggunakan sistem kawalan jauh inovatif bagi jejantas untuk kemudahan penumpang berlepas dan membolehkan proses berkaitan dilakukan dengan penggunaan kamera serta pengesan dengan ketepatan tinggi.

Al-Sultan Abdullah kemudiannya berkenan melawat masjid yang terletak di ISGIA yang juga dibina dan diselia oleh MAHB.



Media Baharu