(Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berucap merasmikan WCIT 2022)
BAYAN BARU, 13 September- Usaha meningkatkan kesedaran Keluarga Malaysia terhadap pentingnya penggunaan teknologi dan inovasi diyakini dapat direalisasikan menerusi penganjuran Kongres Inovasi dan Teknologi Dunia (WCIT) 2022.
Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, usaha itu seiring perkembangan semasa yang turut berlaku di seluruh dunia.
Jelasnya, kemampuan memanfaatkan teknologi baharu dalam memastikan pemulihan negara jelas berhasil dan ia dibuktikan ketika negara dilanda pandemik COVID-19.
"Penggunaan aplikasi digital dengan pelbagai fungsi maklumat teknologi telah berjaya membendung pandemik COVID-19 di Malaysia, selain membantu menyelamatkan perniagaan, pekerjaan serta memastikan kelangsungan proses pembelajaran,"katanya ketika berucap merasmikan WCIT 2022 di Setia SPICE Convention Centre, Bayan Baru.
Penggunaan teknologi bukan sahaja mampu membendung penularan wabak COVID-19 malah berupaya meningkatkan akses kepada kesedaran dalam penjagaan kesihatan.
Justeru, langkah serta pendekatan yang berlandaskan sains dan teknologi serta tema yang dibawa WCIT 2022 iaitu ‘Menghubung dan Mentransformasi Dunia’ memainkan peranan yang amat penting dalam kejayaan Malaysia.
Sementara itu, sebanyak RM4.76 bilion pelaburan digital langsung domestik berjaya direkodkan setakat 24 Ogos lalu.
Ia sekali gus mewujudkan 6,000 peluang pekerjaan bernilai tinggi.
Jelas Perdana Menteri, jumlah pekerjaan tersebut terus meningkat pada masa akan datang.
Pencapaian tersebut meletakkan Malaysia pada kedudukan terbaik bagi mencapai sasaran pelaburan digital sebanyak RM70 bilion menjelang 2025; selaras Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia.
(Perdana Menteri pada Majlis Perasmian WCIT 2022 di Setia SPICE Convention Centre, Bayan Baru)