fb fb fb fb fb

Waspada Banjir: Lapan daerah di Kelantan dijangka banjir bermula Ahad

Jabatan Meteorologi Malaysia memberi amaran hujan lebat di beberapa kawasan di Kelantan bermula Ahad ini/FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 22 Disember - Lapan daerah di Kelantan dijangka dilanda banjir bermula Ahad ini hingga Isnin, menurut Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Antara daerah yang terlibat ialah Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai.

Ramalan awal banjir itu dikeluarkan susulan amaran hujan berterusan tahap buruk oleh Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) hari ini.

Menurut JPS melalui kenyataan malam tadi, kawasan itu membabitkan lembangan Sungai Golok, Sungai Kelantan, Sungai Pengkalan Nangka, Sungai Gali, Sungai Kemasin dan Sungai Semerak di daerah-daerah berkenaan.

"Banjir boleh berlaku lebih awal atau lewat dari tarikh yang dijangka dan penduduk di kawasan terlibat diminta berwaspada, peka dengan arahan pihak berkuasa," katanya.

Menurut kenyataan itu, JPS akan membuat pemantauan berterusan dan mengemas kini hebahan amaran banjir monsun sekiranya hujan yang signifikan terus berlaku di lembangan sungai tersebut.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat semasa melalui laman web publicinfobanjir.water.gov.my atau laman Facebook PublicInfoBanjir

ARTIKEL BERKAITAN

GRACE AISYAH KEDAYAN