PUTRAJAYA, 31 Oktober - Kerajaan kekal dengan pendirian yang membenarkan wartawan bertanya sebarang soalan dalam menjalankan tugas.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata barisan menteri wajar memberi jawapan dengan berhemah dan mengamalkan prinsip keterbukaan serta saling menghormati antara media dan kerajaan.
"Saya memandang serius perkara yang dibangkitkan Kesatuan Wartawan Malaysia (NUJM) dan Gerakan Media Merdeka (Geramm) yang mengecam tindakan seorang menteri yang didakwa mengugut seorang wartawan.
"Saya telah berhubung dengan menteri berkaitan dan beliau telah memberi penjelasan. Selain itu, dalam Mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, saya turut menyatakan pendirian kerajaan adalah sangat jelas.
"Wartawan berhak bertanya apa jua soalan dalam menjalankan tugas mereka sebagai wartawan.
"Setiap jawapan menteri perlu disampaikan dengan berhemah serta berlandaskan prinsip keterbukaan di samping saling menghormati antara pihak media dan kerajaan," Katanya pada Sidang Media Mingguan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Datuk Fahmi berkata menteri tersebut bercadang untuk bertemu dengan pihak pengurusan akhbar berkaitan bagi menjernihkan keadaan.
Sejak semalam tular di media sosial video yang memaparkan seorang menteri didakwa melakukan ugutan terhadap wartawan berkenaan.
Menteri terbabit didakwa mengugut wartawan berkenaan dengan cubaan ingin menghubungi ketua pengarangnya selepas mengajukan soalan dalam satu sidang media.