fb fb fb fb fb

Waris mangsa tragedi tanah runtuh Batang Kali, terima pencen penakat bulan depan

ALOR GAJAH, 29 Disember - Waris Lai Chee Sam, 33, mangsa tragedi tanah runtuh Batang Kali, Selangor baru-baru ini, akan menerima pencen penakat bermula bulan depan, kata Exco Perpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri Ngwe Hee Sem.

Beliau berkata pencen penakat berjumlah RM847.60 itu akan dibayar kepada bapa mendiang Chee Sam iaitu Lai Hua Keong, 54, dan ibunya, Chia Eet Loun, 51, sepanjang hayat mereka.

"Waris mangsa juga layak mendapat Faedah Pengurusan Mayat sebanyak RM2,000 secara sekali beri," katanya kepada pemberita pada program Skuad Prihatin Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Melaka yang turut dihadiri Pengarah Perkeso Melaka Abd Razak Omar di Kampung Permai di sini.

Ngwe berkata mendiang Chee Sam layak menerima pencen penakat tersebut selepas memenuhi syarat kelayakan penuh apabila mula mencarum dengan Perkeso pada 1 Jun 2018.

Beliau berkata pencen penakat berkenaan diharap dapat meringankan beban keluarga Chee Sam yang kehilangan anak sulung daripada tiga beradik dalam tragedi tersebut.

(Exco Perpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri
Ngwe Hee Sem (tengah) menyerahkan replika cek tuntutan faedah
pengurusan mayat 
kepada waris mangsa tragedi tanah runtuh Batang Kali,
pada program Skuad Prihatin Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Melaka)

Dalam tragedi berkenaan, selain Chee Sam, Hua Keong turut kehilangan menantunya Lai See Tin, 33, serta dua cucu iaitu Giselle Lai Yu Xi, 6, dan Jonas Lai Ze Kai, 2.

Sementara itu, Abd Razak berkata majikan perlu membuat caruman dengan Perkeso bagi setiap pekerja yang digajikan mereka bagi memastikan pekerja sentiasa dilindungi.

Beliau berkata mana-mana pekerja boleh membuat aduan kepada Perkeso jika majikan enggan mencarum dengan agensi berkenaan. - BERNAMA

Media Baharu