fb fb fb fb fb

Perak berhasrat tubuhkan Pusat Aktiviti Warga Emas di 24 Parlimen

IPOH, 29 Disember- Kerajaan Perak berhasrat untuk menubuhkan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) di kesemua 24 Parlimen di negeri tersebut.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan Perak, Salbiah Mohamed berkata bagi merealisasikan hasrat tersebut, kerajaan negeri sedang menyusun strategi bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Sehingga kini, terdapat 12 PAWE yang berjaya diwujudkan di Perak, dalam memastikan kebajikan dan keperluan warga emas sentiasa terjamin.

"Permohonan penubuhan PAWE sekiranya diluluskan oleh Ibu Pejabat JKM bakal menerima geran penubuhan untuk penyelenggaraan dan pembaikan, pembelian peralatan dan pengoperasian RM100,000 secara one-off dan geran pengoperasian sebanyak RM50,000 untuk tempoh 12 bulan. Peruntukan pengoperasian ini disalurkan bagi tujuan pembiayaan tenaga kerja (elaun penyelia dan pembantu), pengurusan dan sewaan premis," katanya ketika menjawab soalan lisan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini.



(Antara kriteria penubuhan sesebuah PAWE ialah bilangan warga emas yang ramai
dan berminat untuk menjalankan aktiviti dalam sesebuah komuniti)

Tambah Salbiah, antara kriteria penubuhan sesebuah PAWE ialah bilangan warga emas yang ramai dan berminat untuk menjalankan aktiviti dalam sesebuah komuniti.

Juga, lokasi premis yang strategik dan mudah diakses oleh warga emas dan orang awam.

Selain itu, ia juga perlu berhampiran dengan kemudahan awam dan premis yang dipilih hendaklah mesra warga emas dan sesuai dengan program dan aktiviti yang hendak dijalankan.

Media Baharu