(Mohd Fared menyerahkan sumbangan kepada abang mangsa, Shahrizal Saliman)
BATU PAHAT, 8 Julai- Waris mangsa kesembilan, Muhammad Fikri Saliman, yang terlibat dengan tragedi kepala air Jeram Putih, Kemaman, Terengganu hari ini menerima sumbangan daripada ADUN Semerah merangkap Exco Hal Ehwal Agama Johor, Mohd Fared Mohd Khaled.
Beliau berkata, bantuan itu turut melibatkan sumbangan daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor.
"Nanti kita akan berurusan dengan pihak penghulu kampung dan juga keluarga jumlah yang sebenarnya tapi Alhamdulillah hingga kini jumlah yang telah disumbangkan mencukupi dan dapat membiayai urusan-urusan awal sehingga ia semua telah selesai. Saya dah maklum tadi pusat khidmat saya sendiri dan Majlis Agama Islam Johor akan membuat tanggungan sepenuhnya," katanya.
(ADUN Semerah merangkap Exco Hal Ehwal Agama Johor, Mohd Fared Mohd Khaled)
Tambahnya, beliau juga turut menzahirkan penghargaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam membantu pencarian sehingga proses pengebumian selesai.
Allahyarham Muhammad Fikri 24 tahun merupakan tunang kepada Putri Balqis Izzati Abdul Rahman ditemukan terdampar di beting pasir kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian pukul 9.20 pagi semalam selepas hampir seminggu dihanyutkan arus deras kepala air.
Pada Sabtu (1 Julai) lalu, dalam kejadian kira-kira pukul 5 hingga 6 petang, sembilan sekeluarga dari Felda Lepar Hilir, Pahang dan Muhammad Fikri, bakal menantu ahli keluarga itu dari Batu Pahat, Johor dihanyutkan kepala air akibat hujan lebat.