KELANA JAYA, 26 Januari - Sebagai sebuah jabatan yang dinamik dan mampan, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) perlu memastikan segenap warga Kastam celik digital dan sentiasa bersedia untuk mengadaptasi transformasi teknologi semasa dalam membina serta membudayakan ekosistem data.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata anjakan itu selaras dengan aspirasi Jalinan Digital Negara (JENDELA) dan inisiatif Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital) yang telah dianjurkan oleh kerajaan ke arah memacu Malaysia sebagai peneraju sektor ekonomi digital yang cekap dan proaktif sekali gus mencorak sebuah negara bangsa yang berpendapatan tinggi.
"Hasrat menggerakkan transformasi digital dalam perkhidmatan awam ini juga bukanlah suatu perkara baharu yang asing, malah telah digariskan dengan jelas dalam Pelan Strategik Pendigitalan Sektor Awam 2021–2025 ke arah memartabatkan ketelusan dan memperkasa kecekapan dalam urusan perkhidmatan.
"Ia juga telah termaktub dalam Tujuh Teras Strategik Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) serta turut dirangkum dalam memeta halatuju Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang telah saya lancarkan pada September lepas," katanya ketika berucap merasmikan Hari Kastam Sedunia kali ke-40,di sini.
Ismail Sabri juga percaya, dengan suntikan transformasi digital melalui pemerkasaan budaya dan ekosistem data dalam urusan perkhidmatan dan operasi JKDM, mampu memperkasa prestasi jabatan itu sekali gus mencorak Malaysia sebagai sebuah negara maju yang kompetitif dan berdaya saing.