fb fb fb fb fb

Warga emas meninggal dunia selepas mengundi

KEDAH, 20 November- Seorang lelaki warga emas sempat menunaikan tanggungjawabnya sebagai pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) semalam, sebelum meninggal dunia akibat diserang penyakit jantung.

Lelaki berusia 61 tahun itu dipercayai pergi ke pusat mengundi di Sekolah Menengah Agama Nadhah Hasanah, Padang Sera, Kodiang.

 
(Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan)

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan ketika dihubungi berkata, tiada laporan polis diterima berhubung kejadian itu dan mengesahkan lelaki warga emas itu meninggal dunia akibat serangan jantung.

Beliau berkata, mangsa turut mempunyai rekod sakit jantung sebelum ini.

Mangsa bersama isterinya yang berusia 57 tahun keluar mengundi pada pukul 2 petang.

Bagaimanapun, isteri mangsa dimaklumkan suaminya rebah di luar pagar sekolah berkenaan selepas selesai mengundi pada jam 2.50 petang.

Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Jitra dengan menaiki ambulan sebelum disahkan meninggal dunia di hospital berkenaan.

Mangsa disahkan meninggal dunia oleh doktor sebaik tiba di hospital.

Media Baharu