fb fb fb fb fb

Warga emas maut dirempuh lori treler

Mangsa, 68 tahun bekerja kampung disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala/FOTO Polis Kedah

BALING, 23 Januari - Seorang lelaki warga emas maut selepas motosikal yang ditunggangi dirempuh sebuah lori treler di Simpang Tiga Jerai, Jalan Baru Kulim-Baling-Gerik dekat sini awal pagi tadi.

Mangsa, Hassim Ahmad, 68 tahun dalam perjalanan dari arah Kampung Iboi menghala balik ke rumahnya di Kampung Kuang dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Baling, Supritendan Shamsudin Mamat berkata lori treler itu dalam perjalanan dari arah Kota Bharu, Kelantan menghala ke Perai, Pulau Pinang untuk mengambil muatan.

"Ketika lori treler tiba di lokasi kejadian, mangsa yang menunggang motosikal seorang diri telah keluar arah simpang di sebelah kiri untuk ke sebelah kanan jalan secara mengejut.

"Ia menyebabkan lori treler yang dipandu lelaki berusia 50 tahun dan seorang kelindan berusia 28 tahun tidak sempat mengelak lalu merempuh motosikal menyebabkan mangsa terpelanting ke laluan bertentangan," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Katanya, akibat rempuhan tersebut, mangsa yang bekerja kampung disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik, Hospital Kulim untuk bedah siasat.

Manakala pemandu dan kelindan lori yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, kes disiasat dibawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

GRACE AISYAH KEDAYAN