fb fb fb fb fb

Warga emas maut, kereta dipandu anak lelaki terbabas

Kemalangan kendiri di Jalan Tok Adis menghala ke Durian Burung pada pukul 5.50 pagi

KUALA TERENGGANU, 1 Jun- Seorang wanita warga emas maut selepas kereta dipandu anaknya terbabas dan terbalik ke laluan bertentangan dalam kejadian di Jalan Tok Adis menghala ke Durian Burung di sini pagi tadi.

Kejadian kira-kira 5.50 pagi itu menyebabkan mangsa Kelsom Abdul Rahman, 65 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala Muhammad Hafiz Firdaus Alias 23, mengalami kecederaan ringan.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, siasatan awal mendapati kereta dipandu Muhammad Hafiz dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar pembahagi jalan lalu terbalik ke laluan bertentangan.

Kenderaan dari arah Kuala Ibai itu dipercayai terbabas sendiri ke sebelah kanan jalan sebelum terbalik. 

Mangsa yang duduk di bahagian penumpang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Difahamkan, Kelsom Abdul Rahman bersama anaknya Muhammad Hafiz Firdaus Alias dalam perjalanan dari Kemaman menghala ke rumah mereka di Manir, Kuala Terengganu.

Kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

Mayat Kelsom Abdul Rahman dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk tindakan lanjut dan anak mangsa Muhammad Hafiz Firdaus Alias yang mengalami kecederaan turut dihantar ke hospital sama untuk rawatan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI