fb fb fb fb fb

Pesta Renang Langkawi 2025, jana ekonomi & ruang perkenal destinasi menarik

Azura Zainol Abidin

LANGKAWI, 1 Jun- Pesta Renang Langkawi 2025 atau Langkawi Swimming Festival 2025 tidak hanya sekadar sukan pelancongan, malah ia merupakan platform untuk menarik pelancong ke destinasi menarik di pulau legenda itu serta merancakkan ekonomi penduduk setempat.

Menurut penganjur, Azura Zainol Abidin, edisi kali ke-6 itu mendapat penyertaan daripada 375 peserta dari 18 negara selain menjadi ruang kepada generasi muda dan pelapis dalam sukan renangan laut terbuka untuk mengasah bakat.

"Kita bermula dengan penyertaan 20 orang peserta kategori bawah 12 tahun dan hingga kini ia berkembang kepada 50 peserta untuk kategori 400 meter.

"Sementara itu seramai 20 peserta bawah 12 tahun menyertai program ini untuk satu kilometer dan dua kilometer. Ada juga peserta yang telah layak untuk berenang sejauh empat kilometer," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah Pesta Renang Langkawi 2025 di Tanjung Rhu, di sini.

Pesta renang berprestij anjuran Tough Gorilla dengan kerjasama Tourism Malaysia dan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) itu sekali gus membuktikan pulau peranginan itu bersih dan sesuai untuk sukan renang laut terbuka.

Peserta terlibat adalah dari Thailand, Korea Selatan, Singapura, Afrika Selatan, United Kingdom, Indonesia, Amerika Syarikat, Maldives, Lubnan, Perancis, Ireland, Mexico, India, Sepanyol, Colombia, Japan, Filipina dan tuan rumah, Malaysia.

Sebanyak empat kategori yang dipertandingkan dengan jarak renangan lapan kilometer, empat kilometer, dua kilometer dan kategori kanak-kanak dengan 400 meter.

Bagi kategori kanak-kanak 6 hingga 12 tahun lelaki dimenangi Muhammad Izz Muhaimin Muhammad Daniel Alex, manakala kategori sama untuk perempuan diungguli Aniza Fatini Muhamad Firdaus.

Sementara itu kategori lelaki junior lapan kilometer 16 hingga 19 tahun menjadi milik Harith Aiman Adha Norasli.

Untuk kategori Master 20 hingga 29 tahun dan 30 hingga 39 tahun masing-masing menjadi milik Howie Loh dan Abdul Hai Salleh.

Bagi kategori Master 40 hingga 49 tahun dan Master 50 hingga 59 tahun masing-masing menjadi milik Jose Luis Larrosa dan Serge Domonichini.

Bagi kategori junior perempuan 16 hingga 19 tahun menjadi milik Lizhanna Ang.

Manakala kategori master 20 hingga 29 tahun menjadi milik Loh Siew May, Kim Anderson pula muncul juara kategori master 30 hingga 39 tahun dan Nadia Louw juara kategori master 40 hingga 49 tahun.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI