fb fb fb fb fb

Malaysia–Thailand perkukuh kerjasama strategik pertanian

Datuk Seri Mohamad Sabu ketika bertemu rakan sejawatan, Narumon Pinyosinwat di Bangkok, Thailand. - Foto FB Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR, 1 Jun – Malaysia dan Thailand berada di landasan kukuh memperluas kerjasama strategik dalam sektor agromakanan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kedua-dua negara bersetuju memuktamadkan Memorandum Persefahaman (MoU) dalam sektor itu dan dijangka ditandatangani dalam masa terdekat.

Menurut beliau,  perkara itu dimuktamad pada kunjungan hormat ke atas rakan sejawatannya, Narumon Pinyosinwat ketika mengetuai delegasi Malaysia sempena lawatan kerja empat hari ke Thailand sejak 29 Mei lalu. 

Pada pertemuan itu, mesyuarat mesyuarat dua hala turut diadakan yang menumpukan rundingan lanjut berkaitan kerjasama dalam subsektor tanaman, ternakan dan perikanan serta usaha penyelarasan dasar bagi mempercepat urus niaga rentas sempadan.

Selain mesyuarat dua hala, Datuk Seri Mohamad turut merasmikan Pavilion Malaysia di THAIFEX-Anuga Asia iaitu ekspo perdagangan makanan dan minuman terbesar Asia yang disertai 137 syarikat Malaysia.

Ekspo itu mencatat kejayaan komersial apabila dua memorandum persefahaman bernilai RM17 juta berjaya dimeterai, membuktikan potensi besar produk Malaysia menembusi pasaran serantau.

Beliau dan delegasi juga dibawa melawat Kubota Farm, sebuah pusat demonstrasi teknologi pertanian pintar yang dibangunkan oleh syarikat ternama, Siam Kubota.

Ia usaha bagi mendapatkan gambaran langsung terhadap inovasi mekanisasi pertanian yang boleh disesuaikan untuk pelaksanaan di Malaysia.

Lawatan tersebut turut disertai Kuasa Usaha Sementara Malaysia ke Thailand, Tuan Bong Yik Jui serta pegawai kanan kementerian dan Kedutaan Malaysia di Bangkok.

KHAIRUL AMRI BIN YASIN