KOTA KINABALU, 1 Jun- Minggu Latihan Kebangsaan atau National Training Week (NTW) 2025 menyasarkan penyertaan sejuta rakyat seluruh negara untuk menyertai pelbagai latihan percuma, sama ada secara fizikal atau dalam talian bermula 14 hingga 21 Jun ini.
Menteri Sumber Manusia (KESUMA), Steven Sim Chee Keong berkata, akses percuma kursus di seluruh negara, sama ada secara fizikal atau dalam talian itu turut menyasarkan 60,000 rakyat Sabah menyertai program tersebut berbanding 15,000 orang pada tahun lalu.
"Kita ada hampir 60,000 latihan percuma dan ia pelbagai kategori. Ia termasuk latihan kemahiran, kebudayaan, memasak sehinggalah kemahiran lebih tinggi.
"Contohnya kemahiran membaiki kenderaan, membaiki motor, membaiki bot saya tengok, kemahiran seperti digital, pengkomputeran, kecerdasan buatan (AI) dan sebagainya," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Program Sentuhan KESUMA di Bawah Bayu, di Pulau Gaya di sini.
Program Sentuhan KESUMA di Pulau Gaya adalah yang pertama di Sabah dan ia merupakan tahun ketiga bawah payung MADANI tahun ini.
"Kursus yang ditawarkan ini tidak mengira golongan, ia terbuka kepada semua seperti yang dimaklumkan tadi. Latihan ini memberi peluang kepada golongan usahawan.
"Latihan ini bukan sahaja bawah Kementerian Sumber Manusia malah bawah kementerian saya pun ada kursus-kursus seperti ini. Sudah tentu kerjasama seperti ini akan merapatkan kerjasama antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri serta memberi peluang lebih banyak kepada rakyat secara besar-besaran," katanya.
Steven turut menyasarkan bilangan peserta yang menyertai kursus pada tahun ini lebih tinggi berbanding dua tahun sebelum ini.
Berdasarkan rekod terdahulu, peserta termuda berusia empat tahun dan tertua berusia 70 tahun.
Berhubung program di Pulau Gaya, Steven memaklumkan seramai 300 penduduk pulau itu berpeluang menyertai beberapa jenis program kemahiran antaranya, gubahan bunga.
NTW mendapat sokongan dan dikoordinasikan Human Resource Development Corporation (HRD Corp).
Turut diumumkan, inisiatif “SHINE Living Lab for Sabah Talent Development”, Pusat Latihan Kerjasama Industri dan Komuniti, penyampaian sumbangan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Gaya dan Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Gaya dan penyampaian sumbangan bakul makanan dan jaket keselamatan.