
DARO, 24 Februari– Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang wanita yang dilaporkan hilang ketika mencari buah sekiu di hutan berhampiran Kampung Penibong, Daro malam tadi, akan diteruskan pagi ini.
- Operasi SAR diteruskan pagi ini dengan penambahan anggota dan aset untuk memperluas kawasan pencarian.
- Pencarian melibatkan kerjasama penduduk kampung, polis, JBPM dan APM.
- Operasi ditangguhkan malam tadi kerana faktor keselamatan dan keadaan gelap.
Ketua Polis Daerah Matu Daro, DSP Rahim Mihos berkata mangsa yang dikenali sebagai Suriya Marais, berusia 52 tahun, difahamkan keluar dari rumah sekitar pukul 7.00 pagi untuk mencari buah sekiu di kawasan berhampiran kampung berkenaan.
Bagaimanapun, mangsa yang keluar bersama beberapa penduduk kampung itu dipercayai telah berpecah daripada kumpulan sebelum gagal menemui jalan keluar selepas keadaan menjadi gelap.
Menurut beliau, pihaknya menerima laporan kehilangan mangsa itu pada pukul 6.00 petang sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi pencarian.
“Penduduk kampung telah menjalankan usaha mencari mangsa, namun gagal menemuinya sebelum laporan dibuat di IPD Daro,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Susulan itu, operasi SAR dilancarkan dengan kerjasama penduduk kampung bersama polis, serta pasukan dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Daro dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daro.
Sehingga lewat malam tadi, mangsa masih belum ditemui dan operasi terpaksa ditangguhkan atas faktor keselamatan serta keadaan gelap.
Operasi SAR dijadual disambung semula pada pukul 8.00 pagi ini dengan penambahan anggota dan aset bagi memperluas kawasan pencarian.