fb fb fb fb fb

Wanita Dinamik@KPWKM, komitmen kerajaan perkasa wanita tingkat jati diri

Datuk Seri Nancy dan dif-dif kehormat serta para peserta Program Wanita Dinamik@KPWKM di Sri Aman

SRI AMAN, 11 Jun- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) komited dalam memperkasa wanita bagi meningkatkan kekuatan dan kemandirian serta jati diri wanita menerusi penganjuran program Wanita Dinamik@KPWKM.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ia merangkumi elemen ekonomi, keselamatan dan kesihatan.

"Sebelum ini, program memperkasa wanita lebih kepada ekonomi, Ini kita ada kesihatan. Kos kesihatan ini bukan hanya untuk sihat saja. Kita sedang bercakap tentang pelaburan terhadap diri kita sendiri sebagai wanita.

"Kalau kita tidak sihat bagaimana keluarga kita hendak terus dengan kehidupan lebih baik. Kita perlu menjadi contoh kepada keluarga kita," kata beliau.

Ujarnya, elemen-elemen tersebut amat penting dalam usaha kementerian membantu golongan sasar khususnya wanita yang terdiri daripada suri rumah dan ibu tunggal yang akan diberikan peluang menjana pendapatan.

Mengulas berkaitan untuk mencapai penyertaan 30 peratus golongan wanita dalam parlimen, beliau berpendapat bahawa perkara tersebut terpulang kepada pucuk kepimpinan.

"Kalau mahu betul-betul melibatkan wanita, maka sesuatu perlu dilakukan. Ia melibatkan perlembagaan, sama ada perlembagaan negara ataupun perlembagaan parti. Ada caranya, kalau hendak wanita mencapai sampai 30 peratus," tambahnya.

Setakat ini, katanya bilangan Ahli Parlimen wanita masih belum mencapai 20 peratus daripada jumlah keseluruhan di Dewan Rakyat.

Datuk Seri Nancy memberitahu pemberita selepas merasmikan program Wanita Dinamik@KPWKM di Sri Aman yang disertai seramai 450 peserta.

Turut hadir ialah Ahli Parlimen Sri Aman, Datuk Seri Doris Sophia Brodie; Ahli Dewan Undangan Negeri Lingga, Dayang Noraazah Awang Sohor dan Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara, Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE