Wan Azizah terima naskhah karya puisi agung penyair Uthmaniyyah

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Emine Erdogan isteri kepada Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan membuat  lawatan ke Perpustakaan Nasional Presiden di Turkiye/Foto Facebook Dr Wan Azizah Wan Ismail

KUALA LUMPUR, 9 Januari – Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, menerima naskhah terjemahan bahasa Melayu kitab Mesnevi, karya agung penyair tersohor Uthmaniyyah, Mevlana, sempena lawatan ke Perpustakaan Nasional Presiden dalam rangka lawatan rasmi selama tiga hari ke Turkiye.

Beliau berkata lawatan berkenaan dihoskan oleh Emine Erdogan, isteri kepada Presiden Republik Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.

“Saya telah dibawa menelusuri koleksi buku-buku yang terdapat di perpustakaan tersebut termasuklah karya dari Malaysia yang mencerminkan persahabatan, kefahaman serta perkongsian ilmu antara kedua-dua negara,” katanya menerusi perkongsian di Facebook hari ini.

Dr Wan Azizah turut menyifatkan penerimaan naskhah terjemahan Mesnevi sebagai satu penghormatan bermakna yang melambangkan hubungan erat dan pertukaran budaya antara Malaysia dan Turkiye.

Kitab Mesnevi ialah karya agung puisi Parsi yang dikarang oleh penyair dan ahli sufi agung abad ke-13, Maulana Jalaluddin Rumi.

Ia merupakan teks kerohanian penting dalam falsafah Islam yang sering dirujuk sebagai al-Quran dalam bahasa Parsi.

“Semoga ikatan persahabatan antara Malaysia dan Turkiye terus mekar serta diperkukuh demi manfaat bersama,” katanya.

Pada Selasa lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isteri membuat lawatan rasmi pertama ke Turkiye bagi memperkukuh hubungan dua hala kedua-dua negara.

Turkiye merupakan antara rakan ekonomi penting Malaysia dengan jumlah perdagangan mencecah RM21.2 bilion (US$4.92 bilion) bagi tempoh Januari hingga November 2025.

Republik itu juga rakan dagang ketiga terbesar Malaysia, destinasi eksport terbesar dan sumber import keempat terbesar dalam kalangan negara Asia Barat, dengan jumlah perdagangan bernilai RM24.15 bilion (US$5.28 bilion), pada 2024.

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan