fb fb fb fb fb

Wakil penghuni terjejas susulan ribut di PPR Seri Cempaka terima bantuan segera RM5,000

Menteri Komunikasi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, Datuk Fahmi Fadzil melawat Block E, PPR Seri Cempaka susulan empat unit rumah tercabut bumbung sepenuhnya dalam kejadian hujan lebat dan ribut petir

PANTAI DALAM, 22 September - Wakil penghuni empat kediaman di Block E, PPR Seri Cempaka menerima bantuan segera RM5,000 susulan bumbung kediaman itu tercabut sepenuhnya dalam kejadian hujan lebat dan ribut petir yang berlaku pada pukul 4.00 petang tadi.

Menteri Komunikasi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, Datuk Fahmi Fadzil berkata, penghuni terjejas akan dipindahkan ke kediaman lain di bangunan sama untuk sementara waktu selain menerima bantuan lain seperti tilam, selimut dan bantal.

Beliau turut memaklumkan bahawa serpihan atap bumbung terbabit turut menghempap kira-kira 30 kereta di kawasan parkir berdekatan.

"Bahagian bumbung memang rosak sepenuhnya dan terbuka. Ada sejumlah unit rumah yang ada masalah air ataupun ada leaking akibat mungkin disebabkan struktur bumbung itu. Ini agak merisaukan.

"Setiap keluarga sebagai permulaan saya akan bagi bantuan RM5,000 dan kita juga sediakan tilam, selimut, bantal untuk mereka menginap dan berteduh malam ini.

"Saya juga sempat bercakap dengan Datuk Seri Maimunah, Datuk Bandar. Saya minta beberapa tindakan segera terutama memindahkan empat unit rumah dipindahkan serta merta di bangunan sama. Ada badan bukan kerajaan (NGO) belia akan bantu membuat pemindahan itu," katanya lagi.

Datuk Fahmi turut meminta penduduk dan pemilik kenderaan yang terkesan untuk membuat laporan polis bagi tindakan lanjut.

"Saya minta mereka buat laporan polis untuk menyatakan jumlah kerosakan, barang berharga terkesan untuk kita sediakan bantuan dan sumbangan. Dan kita akan utamakan anak-anak yang bersekolah.

"Semua kenderaan terkesan kita minta buat laporan polis juga. Kita akan bincang dengan DBKL juga berkaitan tuntutan insurans, pampasan dan bantuan boleh diberikan. Saya akan sampaikan perkara ini kepada pemilik kenderaan terkesan," ujar beliau.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI