
TANJUNG KLING, 7 Mac – Wakaf bukan sekadar sumbangan kebajikan, malah mampu memacu pembangunan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat.
- Pengurusan aset wakaf secara produktif membuka peluang pekerjaan dan memberi manfaat berterusan kepada komuniti.
- Yayasan Wakaf Malaysia memperkasakan inisiatif kebajikan, termasuk program berbuka puasa bersama anak yatim.
- Timbalan Menteri menyeru masyarakat memperbanyakkan amalan wakaf kerana ia memberi impak besar kepada pembangunan ekonomi umat Islam.
Pengurusan aset wakaf secara produktif turut membuka peluang pekerjaan serta memberi manfaat berterusan kepada komuniti.
Usaha itu terus diperkasakan Yayasan Wakaf Malaysia menerusi pelbagai inisiatif kebajikan termasuk program berbuka puasa bersama anak yatim.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli berkata pengurusan wakaf yang baik mampu memberi impak besar kepada pembangunan ekonomi umat Islam.
“Ini merupakan salah satu bentuk amal jariah yang wajar dicontohi. Ia bukan sekadar sumbangan secara sehala, tetapi melibatkan pengurusan yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat sekitar, termasuk membuka peluang pekerjaan dan pelbagai faedah lain.
“Kita dapat melihat bagaimana usaha Yayasan Wakaf Malaysia ini telah memberikan impak yang besar kepada pembangunan ekonomi umat Islam. Saya menyeru kepada semua yang hadir pada hari ini agar bersama-sama memperbanyakkan amalan berwakaf”, katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Iftar Rantaian Kasih bersama anak yatim dan miskin di Tanjung Kling, Melaka.
Pada program itu, seramai 80 anak yatim diraikan, manakala 80 pekerja hotel daripada golongan B40 turut menerima sumbangan bakul makanan serta wang tunai.