KUALA LUMPUR, 26 Februari- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan mengemas kini video promosi Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) setiap tiga bulan bagi menampilkan lebih banyak produk pelancongan serta memastikan Malaysia kekal sebagai destinasi pilihan pelancong antarabangsa.
Menterinya Datuk Seri Tiong King Sing berkata usaha itu bertujuan memperkukuh promosi sektor pelancongan negara dengan mempamerkan keunikan serta daya tarikan Malaysia secara lebih menyeluruh.
Beliau juga berharap video promosi tersebut tidak dipolitikkan oleh mana-mana pihak.
"Kami terbuka menerima pandangan membina berhubung video promosi ini, namun ia tidak seharusnya dipolitikkan. Jika ada kritikan yang membina, kami alu-alukan, tetapi jangan sengaja menimbulkan isu yang tidak sepatutnya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Pelancaran Video Promosi TMM2026 di ibu negara hari ini.
Video promosi terbaharu TMM2026 berdurasi 35 minit itu dilancarkan sebagai langkah strategik memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama dunia.