fb fb fb fb fb

MARDI bangunkan profil DNA beras bantu selesai isu BPT

FOTO RTM

SERDANG, 26 Februari- Kajian menggunakan teknologi asid deoksiribonukleik (DNA) mampu mengenal pasti perbezaan antara beras putih tempatan (BPT) dan beras putih import, sekali gus membantu menyelesaikan isu ketiadaan BPT di pasaran.

Pegawai Penyelidik Kanan Sains Biologi, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Mohd. Shahril Firdaus Ab. Razak menjelaskan kajian yang dijalankan sejak 2023 hingga 2024 itu dapat mengesan varieti serta sumber asal beras dengan bukti saintifik.

Menurutnya, analisis dilakukan ke atas sampel beras yang diterima daripada Pejabat Kawal Selia Padi dan Beras serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang diperoleh daripada pengilang di seluruh negara.

"Setakat ini, lebih daripada 50 varieti beras telah diisytiharkan di Malaysia termasuk oleh MARDI, universiti dan agensi lain seperti Agensi Nuklear Malaysia.

"Kami telah membangunkan profil DNA bagi setiap varieti untuk dijadikan rujukan, di mana setiap varieti mempunyai identiti tersendiri berdasarkan jujukan DNA," katanya.

Beliau menyatakannya dalam sesi taklimat mengenai kaedah analisis untuk mengenal pasti BPT dan beras putih import di Pusat Penyelidikan Bioteknologi & Nanoteknologi, MARDI di sini hari ini.

Turut hadir pada sesi taklimat itu ialah Pengarah Pusat Penyelidikan Bioteknologi dan Nanoteknologi, Dr. Muhammad Zamharir Ahmad serta Pegawai Penyelidik Prinsipal, Dr. Khairun Hisam Nasir.

SITI AISHAH MD ISA