KUALA LUMPUR, 14 Jun- Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan terus dibantu untuk mendapat peluang kerjaya kedua bagi menjamin kebajikan mereka.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata antara inisiatif yang dilaksana adalah melalui program penempatan pekerjaan dan keusahawanan menerusi kerjasama dengan agensi kerajaan dan swasta.
Tambahnya, Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) juga memainkan peranan mengenal pasti konsistensi kecenderungan dan minat mereka terhadap kerjaya yang dipilih.
"PERHEBAT juga membimbing dan memantau kerjaya kedua veteran ATM sehingga tempoh lima tahun selepas anggota menamatkan perkhidmatan. Veteran dibimbing melalui pelbagai kaedah seperti khidmat nasihat serta jaringan dengan pelbagai agensi kerajaan dan syarikat swasta.
"Pemantauan juga dilakukan bagi mengenal pasti jenis kemahiran, bidang baharu dan bimbingan yang diperlukan oleh veteran. Maka, program reskilling dan upskilling dapat dijalankan bagi menepati keperluan kumpulan sasar," katanya ketika menjawab soalan dikemukakan wakil Ketereh, Datuk Khlir Mohd Nor berhubung perancangan Kementerian dalam menentukan Veteran ATM mendapat kerjaya kedua.
Adly Zahari turut memaklumkan berdasarkan proses pemantauan dilakukan kementerian ke atas 22,398 anggota veteran ATM dalam tempoh lima tahun ini, 6,847 daripadanya bekerjaya.
(Adly Zahari)