fb fb fb fb fb

Aidiladha: Lembu 'sado' mampu cecah agihan 1,000 asnaf

(Lembu 'sado')

BERA, 14 Jun- Seorang  penternak lembu, Muhammad Bakri Bukhari, 38, berjaya menjual sebanyak 25 ekor lembu 'sado' bernilai hampir setengah juta ringgit untuk ibadah korban sejak tahun 2018. 

Bagaimanapun, menurut generasi kedua FELDA Tembangau 2 itu, dia mula dikenali selepas seekor lembu miliknya seberat 1.2 tan yang dinamakan 'Gemuk' dinobatkan 'King of Sado 2022' dalam Himpunan Lembu Sado Pantai Timur 2022  di Pekan Jabi, Terengganu. 

Muhammad Bakri aktif menternak lembu 'sado' setelah melihat perbezaan ketara dari segi saiz dan jumlah daging dengan lembu tempatan. 

"Baka lembu ini (sado) kami ambil dari luar negara yang dibekukan dalam bekas berbentuk straw.

"Yang saya pelihara sejak 2018 sampai sekarang mungkin lebih kurang 20 hingga 25 ekor, yang paling berat ada 1 tan lebih," katanya ketika ditemu pemberita di Felda Tembangau 2 di sini.

Ujarnya, menternak lembu 'sado' lebih berbaloi dan ekonomik kerana ia boleh membesar sehingga 1.2 tan dalam usia empat tahun dengan harga boleh mencecah sekitar RM30,000 seekor.

Ketika ini, terdapat sebanyak 20 ekor lembu 'sado' berusia lebih 25 bulan di ladangnya yang sesuai untuk ibadah korban tahun ini dengan harga sekitar RM15,000 hingga RM20,000. 

Bapa kepada lima anak itu berkata, lembu 'sado' membesar secara semula jadi tanpa sebarang suntikan kecuali sakit menjadi pilihan orang ramai untuk membuat ibadah korban kerana agihan dagingnya mencecah 1,000 asnaf. 

(Muhammad Bakri Bukhari bersama lembu 'sado' milikinya)

Media Baharu