(Anwar Ibrahim)
PORT DICKSON, 14 Jun- Pembangunan Projek Katalis Malaysia Vision Valley (MVV) 2.0 bertepatan dengan usaha kerajaan dalam melestarikan pertumbuhan ekonomi di Negeri Sembilan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan sentiasa memberi sokongan serta dorongan bagi mempertingkatkan usaha membangunkan ekonomi di negeri itu menerusi pembangunan MVV 2.0.
Ujarnya, pelan induk pembangunan ekonomi di Negeri Sembilan yang memfokuskan keada pembangunan di MVV 2.0 adalah unik dan menarik kerana ia dirancang secara bersasar berlandaskan kedudukan persekitaran sedia ada.
"Mewujudkan Lembah Aeroangkasa NS atau NS Aerospace Valley (NSAV) untuk dijadikan sebagai pusat industri pembuatan kapal terbang yang menyasarkan pemasangan kapal terbang yang dilengkapi dengan 'ekosistem rantaian bekalan' bersebelahan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bakal melonjakkan penguasaan Malaysia dalam Industri ini yang pada masa kini sekitar 5%," demikian teks ucapan beliau yang disampaikan Timbalannya, Datuk Seri Fadillah Yusof pada Majlis Peluncuran Projek Katalis Lembah Wawasan Malaysia 2.0 di Kawasan Lapang Pantai Batu 1, di sini.
Tambahnya, pelbagai konsep pembangunan yang diutarakan dalam MVV 2.0 termasuk Wilayah Pintar, Kawasan Perindustrian Berteknologi Tinggi, Lembah Kenderaan Tanpa Pemandu dan Lembah Semikonduktor NS merupakan pembangunan mampan yang cukup terancang serta holistik dari segi ekonomi, sosial dan alam sekitar.
Perjanjian dan usaha sama pembangunan kawasan MVV 2.0 dianggarkan bernilai RM15.6 bilion.
(Fadillah Yusof pada Majlis Peluncuran Projek Katalis Lembah Wawasan Malaysia 2.0
di Port Dickson, Negeri Sembilan)