(FOTO HIASAN/ BERNAMA)
ALOR SETAR, 14 Jun- Bekalan stok darah bagi semua jenis kumpulan darah di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar dijangka berkurangan terutamanya menjelang cuti perayaan hujung bulan ini.
Ketua Perkhidmatan Transfusi HSB Alor Setar, Dr Nadiah Abd Kadir berkata, pada ketika ini, bekalan darah jenis A semakin berkurangan dan tidak mencukupi bagi menampung keperluan pesakit
"Alhamdulillah, stok darah di paras yang selamat namun begitu kami menjangkakan stok darah dalam cuti perayaan pada hujung bulan ini dijangka menurun sedikit. Sekarang kita jangkakan semua kumpulan darah akan turun namun begitu, penderma kumpulan A digalakkan untuk tampil kerana berlaku sedikit pengurangan dari segi stok darah A disebabkan pesakit yang masuk kebanyakan adalah pesakit dari kumpulan darah A," katanya.
Dr Nadiah ditemui ketika Majlis Kempen Derma Darah sempena Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia di hospital berkenaan.
Sebanyak 600 beg darah disasarkan pada kempen derma darah yang dijalankan bagi memenuhi keperluan tabung darah di hospital itu.
Sambutan itu juga bagi menghargai jasa baik para penderma dan penganjur yang sentiasa memberi komitmen dalam memastikan bekalan darah mencukupi khususnya di negeri Kedah.
(FOTO FAIL)