fb fb fb fb fb

Sultan Nazrin rasmi Kem Batalion 3 PGA Bidor

(Sultan Nazrin Shah berkenan menandatangani plak ketika merasmikan Kem Batalion
3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor/ BERNAMA)

BIDOR, 14 Jun- Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat merasmikan Kem Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor di sini hari ini.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.

Keberangkatan tiba baginda pada 9.35 pagi disambut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Sultan Nazrin turut berkenan memeriksa kawalan kehormatan melibatkan tiga pegawai dan 102 anggota pegawai rendah polis daripada Batalion 3 PGA pada majlis perasmian itu.


(Sultan Nazrin Shah berkenan memeriksa kawalan kehormatan pada Majlis Perasmian Kem
Batalion 3 PGA Bidor di Bidor, Perak hari ini/ BERNAMA)

Sementara itu, Acryl Sani dalam sembah ucapannya berkata proses menaik taraf semula kem itu melibatkan dua fasa pembinaan dengan fasa pertama bermula pada Februari 2008 oleh Syarikat Tabung Haji Teknologi dan siap sepenuhnya pada Ogos 2011, menelan belanja sebanyak RM69 juta.

Beliau berkata fasa kedua pula mula dilaksanakan pada 15 September 2008 oleh pemaju yang dilantik iaitu Syarikat Galian Razak Sdn Bhd dan Syarikat Pembinaan BLT Sdn Bhd dengan menelan belanja sebanyak RM253 juta.

Menurutnya, fasa kedua itu telah selesai sepenuhnya pada 16 Mei 2012 dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan antaranya balai tabik, drillshed, padang kawad dan kafeteria.

“Sesungguhnya, pembinaan kemudahan-kemudahan di kem ini ialah bukti komitmen tinggi kerajaan dalam menyokong usaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memperkasakan lagi pelan keselamatan pasukan bagi melindungi rakyat serta menjaga keamanan tanah air tercinta ini.

“Selain menjadi mercu kebanggaan buat warga PDRM amnya dan Batalion 3 khasnya, prasarana serta kelengkapan yang terdapat di kem ini mewujudkan persekitaran kerja yang lebih kondusif, sekali gus meningkatkan moral warganya untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat,” katanya.

Majlis itu turut diserikan dengan persembahan tarian perang Lagenda Perang Senoi Praaq, deklamasi sajak bertajuk “Warisan Peribumi Pertiwi” dan persembahan payung terjun oleh Unit 69 Komando, PGA, PDRM.

Media Baharu