Veteran ATM miliki kepakaran khas jadi keutamaan AKPS

Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain/BERNAMA

PELABUHAN KLANG, 9 Februari – Pengambilan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi menyertai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) akan mengutamakan anggota yang bersara awal, bertenaga dan memiliki kepakaran tertentu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Utamakan veteran bersara awal dan bertenaga untuk tugasan lapangan.
  • Pengambilan bertujuan memperkukuh keupayaan operasi AKPS di sempadan.
  • Penempatan berdasarkan latar belakang perkhidmatan dan kepakaran khusus.
  • Perbincangan lanjut dengan pihak veteran dan agensi berkaitan masih diperlukan.

Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, langkah itu bertujuan memperkukuh keupayaan operasi agensi berkenaan di lapangan.

“Saya telah berjumpa dengan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman dan beliau telah menzahirkan komitmen bantuan yang tidak berpelah bagi kepada AKPS.

“Saya ingin menjelaskan di sini bahawa apa yang kita ambil adalah pegawai yang bersara dalam short service yang masih lagi bertenaga dan muda untuk melaksanakan tugasan di lapangan,” katanya kepada pemberita sempena lawatan kerja Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar di Tapak Gudang CF4, Pelabuhan Barat di sini, hari ini.

Terdahulu media melaporkan, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail baru-baru ini memaklumkan, kira-kira 200 veteran ATM dijangka menyertai AKPS bermula suku pertama tahun ini.

Katanya, sejumlah perjawatan veteran ATM bagi kemasukan ke AKPS diluluskan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan proses kemasukan akan dijalankan dalam masa terdekat.

Mohd Shuhaily berkata, penempatan anggota akan ditentukan berdasarkan latar belakang perkhidmatan dan kepakaran masing-masing, termasuk kemungkinan melibatkan bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam operasi maritim dan penguatkuasaan perairan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan perkara itu masih memerlukan perbincangan lanjut, termasuk dengan pihak veteran ATM.