fb fb fb fb fb

Veteran ATM hilang upaya terus dibela, faedah dinaikkan

Adly Zahari menyampaikan sumbangan kepada Abd Razak Saad, 66, pada Majlis Penyampaian Ganjaran Hilang Upaya Veteran ATM Kedah di Alor Setar/RTM

ALOR SETAR, 1 Mac- Nasib veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang hilang upaya akibat kecederaan semasa bertugas terus mendapat perhatian kerajaan bagi memastikan kebajikan mereka serta pendidikan anak-anak tidak terabai.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata kerajaan melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) komited dalam membantu kumpulan berkenaan terutama mereka yang tidak lagi mampu bekerja dan menyara keluarga.

"Kerajaan amat menghargai jasa serta pengorbanan veteran ATM dan beberapa faedah telah ditambah baik bagi memastikan kesejahteraan mereka terpelihara," katanya kepada pembreita pada Majlis Penyampaian Ganjaran Hilang Upaya Veteran ATM Kedah di sini hari ini.

Antara penambahbaikan yang dilakukan adalah peningkatan Julat Elaun Pelajaran Anak-Anak Penerima Pencen Hilang Upaya daripada RM200 hingga RM685 setahun kepada RM1,600 hingga RM5,400 setahun mengikut tahap pendidikan.

Adly berkata kenaikan tu melibatkan peningkatan sebanyak 700 hingga 800 peratus berbanding kadar sebelum ini.

"Kita harap dengan faedah ini, ia dapat meningkatkan lagi insentif kepada anggota veteran kita. Pada masa sama, ia juga sebagai tanggungjawab kerajaan dan motivasi kepada anggota veteran supaya apa saja kecederaan yang dialami, kerajaan tetap ambil tanggungjawab untuk memastikan kebajikan mereka, keluarga serta pendidikan anak-anak sentiasa terjaga," katanya

Pada majlis tersebut, seramai 34 veteran ATM yang cedera semasa operasi atau latihan berisiko tinggi menerima faedah Ganjaran Hilang Upaya (GHU) dengan peruntukan lebih RM1 juta, manakala lapan anak veteran turut menerima sumbangan komputer riba.

Salah seorang penerima, Koperal (Bersara) Abd Razak Saad, 66, dari Sungai Petani yang mengalami kecacatan kaki kiri akibat Ops Gubir pada 1986 bersyukur dengan bantuan yang diberikan.

"Saya berterima kasih kepada Kementerian Pertahanan atas sumbangan kepada anggota yang cedera. Ganjaran ini amat bermakna, terutama dalam keadaan sekarang," katanya.

Sementara itu, Adly turut memaklumkan pemberian GHU kepada lebih 1,800 veteran ATM yang sepatutnya diselesaikan sebelum Ramadan akan dilaksanakan sebelum Aidilfitri berikutan beberapa kekangan khususnya di Sabah dan Sarawak.

SITI AISHAH MD ISA