KUALA LUMPUR, 3 Februari - Kementerian Kesihatan akan mengusulkan kepada kerajaan pembukaan semula sempadan negara dan lain-lain kelonggaran apabila kadar pemberian dos penggalak untuk dewasa dan vaksinasi COVID-19 bagi kanak-kanak mencapai tahap lebih baik.
Menurut menterinya, Khairy Jamaluddin walaupun kadar pemberian dos penggalak untuk golongan dewasa telah melepasi 50 peratus setakat hari ini, beliau masih mahu melihat angka lebih tinggi sebelum membuat cadangan pembukaan semula sempadan serta kelonggaran lain.
"Kita dari Kementerian Kesihatan, kita bukan mengambil pendekatan buka semua secara mendadak. Kita lebih kepada targeted, sebab walaupun yakin dengan satu program vaksinasi terbaik di dunia, tetapi kita masih lagi mengambil sikap yang berhati-hati dan membuka secara berperingkat.
"Tetapi saya yakin dengan adanya PICKids dan program dos penggalak yang semakin meyakinkan, kita akan dapat beri lebih banyak kelonggaran dan kebebasan.
Tambah beliau lagi, antara kelonggaran yang sedang dipertimbangkan ialah melanjutkan tempoh operasi kedai makan dan premis perniagaan.
Sementara itu, pemakaian pelitup muka, menjaga penjarakan fizikal dan penjagaan kebersihan diri akan terus diterapkan, bagi mengekang risiko jangkitan COVID-19.