KUALA LUMPUR, 3 Februari - Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi mengerjakan umrah akan diputuskan dalam masa terdekat.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata proses memuktamadkan SOP baharu tersebut akan mengambil kira kepentingan semua pihak secara menyeluruh.
Ini termasuk memastikan aspek kawalan kesihatan aktiviti umrah terus amalkan bagi memelihara kebajikan rakyat sepanjang berada di Tanah Suci dan ketika pulang ke Tanah Air.
"SOP umrah Datuk Dr. Hayati selaku pengarah kawalan penyakit "will finalizing" itu, sama ada hari ini atau esok. dia akan bentangkan pada saya," katanya selepas melancarkan program imunisasi kanak-kanak (PICKIDS) di Hospital Kuala Lumpur.
Tambahnya, pada 26 Januari lalu, Kabinet memutuskan untuk membenarkan semula umat Islam mengerjakan ibadah umrah bermula 8 Februari ini.
Keputusan itu dibuat berikutan kerajaan tidak berhasrat memanjangkan tempoh penggantungan perjalanan ibadah itu yang berkuat kuasa 8 Januari lepas susulan penularan jangkitan varian Omicron dalam negara.