fb fb fb fb fb

Tiada keperluan diadakan PRK Gerik - Saarani


IPOH, 3 Februari - Tiada keperluan untuk mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi mengisi kekosongan kerusi Parlimen Gerik.

Menurut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad ia berikutan tempoh penggal Dewan Rakyat akan tamat pada tahun hadapan.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak berkata pihaknya juga tidak membuat sebarang permohonan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkenaan perkara tersebut.

"Tempoh 5 tahun akan tamat pada Mei 2023, ini sudah bulan Februari kalau kita nak bubar bermakna bulan Mei kita akan buat pilihan raya, setahun kemudian ataupun mungkin lebih awal kalau Perdana Menteri bubarkan Parlimen tiada makna.

"Jadi kepada saya biar ia kosong hingga Parlimen dibubarkan," katanya ketika diminta mengulas sama ada UMNO Perak akan memohon untuk mengadakan PRK Gerik seperti UMNO Sabah yang memohon PRK bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya.

Saarani ditemui pada majlis makan tengah hari sempena Tahun Baharu Cina 2022, di sini.

Kerusi Parlimen Gerik kosong susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Hasbullah Osman pada 2020 akibat serangan jantung.

Media Baharu