fb fb fb fb fb

USM dinobat universiti nombor satu dunia capai tiga SDG

Foto/USM

KUALA LUMPUR, 22 SeptUniversiti Sains Malaysia (USM) sekali lagi mencipta sejarah apabila dinobatkan sebagai universiti nombor satu dunia dalam tiga Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) menerusi Times Higher Education (THE) Impact Rankings.

Universiti itu dalam kenyataan memaklumkan tiga SDG itu ialah Tiada Kemiskinan (SDG 1), Keamanan, Keadilan dan Institusi yang Teguh (SDG 16), serta Kerjasama Demi Matlamat (SDG 17).

USM turut tersenarai dalam kelompok 100 universiti terbaik dunia bagi lebih dua pertiga daripada keseluruhan 17 SDG, membolehkan kedudukan universiti itu melonjak ke tangga ke-14 daripada 2,526 universiti global.

Bagaimanapun Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed mengingatkan bahawa ranking hanyalah pengiktirafan dari luar. Tegasnya perkara lebih penting adalah bagaimana nilai kelestarian benar-benar diterapkan dalam kehidupan kampus sekali gus memberi manfaat kepada masyarakat.

“Kami mahu buktikan kampus ini bukan sekadar tempat belajar, tapi juga ruang hidup yang menghidupkan nilai kelestarian,” kata beliau.

Sementara itu menurut Pensyarah Pusat Pengajian Komunikasi, Dr Miharaini Md Ghani yang juga editor Pusat Media dan Perhubungan Awam, kejayaan USM adalah berdasarkan pelaksanaan projek hijau kampus selari objektif universiti bahawa kelestarian bukan teori, tetapi realiti yang dizahirkan melalui pelbagai inisiatif.

Antara inisiatif yang mencuri perhatian ialah Solar@USM, projek tenaga bersih yang berjaya menjimatkan hampir RM4 juta setahun. Inisiatif lain yang turut mencuri perhatian ialah Green Office@USM, yang telah mengubah budaya kerja di lebih 90 jabatan. Separuh daripadanya berjaya meraih penarafan lima-daun iaitu tahap tertinggi dalam audit dalaman.

Tidak ketinggalan, Kempen Kampus Sejahtera yang memupuk gaya hidup sihat dan mesra alam. Malah, pelajar sendiri menggerakkan Skuad Lestari, menjadikan kelestarian satu budaya kampus, bukan sekadar arahan rasmi.

Selain itu, keunikan USM juga terletak pada keberanian melangkah keluar dari pagar universiti. Misalnya program pemerkasaan pelarian Rohingya di Balik Pulau, Kembara Sains Borneo di Sabah, serta inisiatif komuniti lestari yang memfokuskan pembangunan golongan B40.

Tidak terkecuali latihan kaedah penuaian lestari Gula Apong, pemanis semula jadi berasaskan tumbuhan daripada pokok nipah telah membuktikan kelestarian USM benar-benar menyentuh kehidupan masyarakat.

Penyelaras Kampus Sejahtera USM, ChM. Dr. Normaliza Abdul Manaf menegaskan, “Kelestarian bukan sekadar tenaga solar atau kitar semula, tapi tentang membina masyarakat yang adil dan berdaya tahan.”

Dalam soal pendidikan universiti itu percaya bahawa pendidikan mempunyai kuasa untuk mengubah kehidupan. Pengiktirafan dalam SDG 1 menjadi bukti komitmen USM dalam menyediakan biasiswa untuk pelajar B40, pelajar dari kawasan luar bandar, serta kumpulan rentan.

Selain bantuan kewangan, sokongan turut merangkumi keperluan asas seperti makanan, tempat tinggal dan bimbingan psikososial, agar tiada pelajar tercicir dalam pengajian. Malah, mereka digalakkan menyertai program komuniti sebagai usaha memberi kembali kepada masyarakat.

“Di USM, kami percaya pendidikan adalah peluang, bukan halangan,” kata Dr. Normaliza.

Kenyataan itu turut menyebut, USM juga unggul dalam SDG 16 kerana tadbir urus yang telus dan berakauntabiliti.

Menerusi Majlis Kelestarian Universiti, pelaksanaan polisi whistleblower, Pelan Anti-Rasuah USM 2023-2027 serta agenda kesejahteraan kampus, USM membuktikan integriti bukan sekadar slogan, tetapi diterjemhkan dalam amalan harian.

USM juga konsisten mempromosikan hak asasi, kesihatan mental dan keadilan sosial, sekali gus melahirkan graduan yang berilmu, beretika, dan bertanggungjawab.

Dalam SDG 17, USM menyerlah melalui kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk MAINPP, Zakat Pulau Pinang, Waqaf Pulau Pinang dan MAIK.

Usaha bersama sekolah dan NGO untuk menghasilkan baja enzim, pengurusan sisa dan pembangunan kebun komuniti jelas menunjukkan bahawa kelestarian bermula dari akar umbi.

Pengumuman oleh THE Impact Rankings dibuat pada Julai lalu, membuktikan bahawa universiti dari Malaysia juga mampu berdiri sama tinggi dengan institusi ternama dunia, sekali gus memberi inspirasi bahawa perubahan besar boleh bermula dari sebuah kampus.

MAT YUNUS BIN SABRI