
KUALA LUMPUR, 10 Mac– Usahawan perlu peka terhadap rentak pasaran serta melakukan inovasi produk dan perkhidmatan agar perniagaan mereka kekal relevan dengan keperluan semasa terutamanya ketika menghadapi krisis.
- Tingkatkan inovasi dan strategi tepat untuk terus berkembang meskipun berdepan cabaran ekonomi global.
- Sesuaikan dan pelbagaikan produk mengikut kehendak pelanggan yang lebih berjaga ketika krisis.
- Rancang kewangan teliti, fokus produk berasaskan keperluan serta tingkatkan ilmu dan kualiti untuk kekal berdaya saing.
Menurut Penasihat Keusahawanan, Dr. Khalil Zulkifflee, melihat kepada Konflik yang berlaku di Asia Barat, pendekatan inovasi, peningkatan kemahiran dan strategi yang tepat dilihat mampu membantu usahawan kekal bertahan serta terus berkembang walaupun berdepan cabaran ekonomi global.
“Selalunya bila berlaku krisis atau apa-apa pendemik dan sebagainya, kebanyakan pelanggan akan lebih berhati-hati untuk berbelanja. Bukan mereka tak ada duit tapi mereka berhati-hati. Jadi kita sebagai usahawan kita kena tengok apa yang kita nak perbaiki. Sebagai usahawan memang kena pelbagai bagi menyesuaikan produk-produk kita dengan keperluan dan kehendak pelanggan.” katanya.
Beliau berkata demikian selepas bersiaran dalam Program Selamat Pagi Malaysia di TV1.
Tambahnya perancangan kewangan yang teliti, tumpuan kepada produk atau perkhidmatan berasaskan keperluan, meningkatkan kemahiran ilmu dan pengetahuan serta menyediakan produk yang berkualiti penting bagi memastikan perniagaan kekal berdaya saing dan terus bertahan di pasaran.