KUALA LUMPUR, 5 Mac- Langkah menangani kemiskinan tegar dengan turun bertemu kepimpinan kerajaan negeri dan agensi, bukti kerajaan mahu memastikan dasar pembangunan dilaksanakan secara efektif mengikut keperluan setiap wilayah.
Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM Terengganu, Khairi Ismail, usaha itu dapat memperkemas koordinasi kerajaan Persekutuan dan negeri dalam menyantuni kemaslahatan rakyat.
"Melalui Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri, ia bukan sahaja dapat memperhubungkan koordinasi antara kerajaan Persekutuan dan juga negeri tetapi sebenarnya ia dapat memastikan dasar pembangunan dilaksanakan secara efektif.
Inisiatif ini memfokuskan kepada isi rumah miskin dan ini menunjukkan kerajaan pada hari ini sangat serius dalam menangani isu kemiskinan dan meningkatkan taraf hidup golongan yang memerlukan," kata Khairi kepada pemberita RTM secara eksklusif dalam video maya, hari ini.
Pendekatan ekonomi yang bersifat progresif itu bukan sahaja dapat menyumbang kepada kestabilan ekonomi semasa tetapi juga memberi impak jangka panjang kepada pembangunan negara.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka akan turun ke negeri-negeri bagi mempengerusikan Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri di samping hadir Majlis Berbuka Puasa MADANI, bermula minggu depan.
Menurut Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, usaha itu juga merangkumi peningkatan pendapatan golongan sasar, menyediakan peluang pekerjaan serta akses lebih baik kepada pendidikan, kesihatan dan perumahan.
Di samping itu, tidak meminggirkan kesejahteraan isi rumah miskin serta memperbaiki taraf hidup mereka.