fb fb fb fb fb

Penemuan mayat di MOF: Siasatan lanjut dijalankan- Saifuddin Nasution

Saifuddin Nasution Ismail/ Foto RTM

PUTRAJAYA, 5 Mac- Punca sebenar kematian penjawat awam di Kementerian Kewangan (MOF) akan dikenal pasti Polis Diraja Malaysia (PDRM), kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau yang mengesahkan insiden tersebut berkata akan menyerahkan kes berkenaan sepenuhnya kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

“Setakat ini terlalu awal untuk kita buat apa-apa kenyataan tentang itu sehingga pihak polis memulakan siasatan.

"Insya-Allah daripada perkembangan itu saya akan minta pasukan penyelidik kongsi dengan media maklumat yang penting dan munasabah yang boleh dikongsi," katanya selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa Bersama Warga Kementerian Dalam Negeri Tahun 2025 di sini.

Terdahulu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut pada pukul 10.56 pagi.

Sementara itu, Saifuddin Nasution memuji tindakan tiga pengacara radio swasta yang membuat permohonan maaf selepas kontroversi video yang didakwa mempersendakan agama.

Beliau berkata, walaupun mereka sudah menyatakan permohonan maaf kepada pihak yang tersinggung, proses siasatan tetap diteruskan.

"Kalau satu aduan laporan polis dibuat, menjadi tanggungjawab polis untuk siasat la kan sama ada, ada asas untuk didakwa itu, bergantung kepada budi bicara DPP itu," katanya lagi.

Menurutnya, dalam konteks hubungan kaum serta kepelbagaian agama dan budaya di negara ini, insiden sedemikian menjadi pengajaran agar setiap rakyat sentiasa peka dan menghormati agama lain.

Dalam pada itu, Saifuddin Nasution berkata Pakatan Harapan (PH) negeri Perak akan memainkan peranan sebagai pendukung bagi memastikan kerusi yang dimiliki UMNO dalam Kerajaan MADANI negeri itu kekal terjaga.

Saifuddin Nasution telah mengesahkan bahawa PH negeri itu telah mengadakan pertemuan dan mengambil keputusan bagi menyokong UMNO dalam mempertahankan kerusi mereka dalam Kerajaan MADANI negeri.

"Saya sebagai Ketua Setiausaha PH, keputusan kita setakat ini adalah untuk memainkan peranan sebagai pendukung memandangkan kerusi itu adalah kerusi in government melalui Barisan Nasional wakilnya UMNO.

"Jadi serentak dengan itu PH akan memulakan gerak kerja awal, saya sendiri tadi telah menerima arahan langsung daripada Pengerusi Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memulakan persiapan gerak kerja mengikut SOP (prosedur operasi standard) biasa," katanya.

Jelas Saifuddin Nasution langkah itu sejajar dengan prinsip in government yang dipersetujui dalam pembentukan Kerajaan MADANI.

Ia sekali gus menamatkan spekulasi mengenai kedudukan PH dalam perebutan kerusi tersebut.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM