KUALA LUMPUR, 15 April- Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus unggul sebagai institusi pendidikan terkemuka negara apabila mencatat kadar kebolehpasaran graduan (GE) sebanyak 97 peratus bagi tahun 2024.
Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, ia merupakan pencapaian tertinggi universiti itu dalam tempoh lima tahun.
"Menerusi data rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG), kadar bekerja graduan UPSI turut mencapai 97.4 peratus, mencerminkan keberkesanan pendekatan universiti dalam melahirkan graduan berdaya saing dan relevan dengan keperluan industri semasa.
"Kadar kebolehpasaran graduan UPSI pada tahun 2023 adalah 95.3 peratus, dan peningkatan sebanyak 1.7 peratus pada tahun berikutnya jelas membuktikan trend positif serta komitmen berterusan universiti dalam meningkatkan kualiti graduan," menurut Md Amin dalam satu kenyataan.
Peningkatan berkenaan mengatasi kadar kebangsaan sekali gus menunjukkan komitmen UPSI dalam memperkukuh pendekatan berteraskan industri.
Selain itu univerisiti itu dalam usaha memastikan keseimbangan antara teori dan amalan dalam setiap program pengajian yang ditawarkan.
Pencapaian cemerlang itu adalah hasil usaha kolektif seluruh warga UPSI yang sentiasa berinovasi dalam melaksanakan kurikulum dinamik, memperluas jaringan kolaborasi strategik bersama industri, serta memperkasa kemahiran insaniah dalam kalangan pelajar.
"Kadar kebolehpasaran dan kadar bekerja yang tinggi ini jelas menunjukkan bahawa graduan UPSI bukan sahaja memiliki asas akademik yang kukuh, malah dilengkapi dengan kemahiran praktikal dan nilai profesional yang tinggi, sejajar dengan kehendak pasaran kerja masa kini," katanya.
Pada masa sama universiti itu akan terus memperkukuh peranannya sebagai peneraju dalam bidang pendidikan dengan memberi fokus kepada pembangunan holistik pelajar, penyelidikan berkualiti tinggi, serta keterlibatan komuniti yang mampan.
Pencapaian itu sekali gus mengukuhkan kedudukan UPSI sebagai pilihan pelajar untuk membina kerjaya dalam bidang pendidikan serta pelbagai sektor lain yang memerlukan tenaga kerja berkepakaran tinggi.